Hujan berterusan sehingga perayaan Krismas

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menjangkakan hujan bakal melanda negara ketika perayaan Krismas, Ahad ini.

METMalaysia dalam kenyataannya berkata pada sebelah pagi hujan akan berlaku di kebanyakan tempat di Sabah membabitkan daerah Pedalaman, Pantai Barat, Kudat dan Sandakan serta Labuan.

“Namun, amaran ribut petir dan hujan di satu dua tempat dijangka melanda kawasan pantai di Pahang, timur Johor dan Sarawak membabitkan daerah Kuching, Samarahan, Betong, Sarikei, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang.

“Pada sebelah petang, hujan dijangka melanda kebanyakan tempat di Sabah membabitkan Pedalaman, Pantai Barat, Kudat, Sandakan dan Labuan manakala amaran ribut petir dan hujan di satu tempat di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Johor.

“Amaran sama turut dikeluarkan bagi Sarawak yang membabitkan daerah Kuching, Samaraham, Betong, Sri Aman, Sibu, Bintulu, Miri dan Limbang manakala di Sabah pula daerah Tawau.

“Seterusnya, pada Ahad malam, hujan di kebanyakan tempat di Pedalaman, Pantai Barat, Kudat, Sandakan dan Labuan manakala hujan di satu dua tempat di Sarawak (Miri dan Limbang) dan di Sabah (Tawau),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh layari laman web rasmi MetMalaysia, selain aplikasi mudah alih myCuaca dan laman media sosial rasmi jabatan ini atau menghubungi hotline 1-300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut.