Kemukakan laporan, Pastikan projek siap mengikut jadual: Hajiji

KOTA KINABALU: Semua program atau projek kerajaan dilaksanakan di peringkat daerah perlu dipantau sekali gus disiapkan mengikut jadual ditetapkan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini termasuk sama ada projek itu dilaksanakan melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Pelaburan Sabah (SEDIA).

Katanya, semua pegawai kanan kerajaan perlu mempertingkatkan lagi tahap kerja serta usaha agar program dan projek kerajaan yang diluluskan di daerah masing-masing dapat dilaksanakan sepenuhnya.

“Saya berasa sedih apabila menerima laporan berkaitan pelaksanaan program dan projek pembangunan pada tahun ini. Kita sudah bagi peruntukan dan projek diluluskan tetapi laporan pelaksanaan projek tidak memberangsangkan.

“Ada yang hanya 60 peratus saja (siap) pada tahun ini, sama seperti tahun lalu juga (60 peratus). Rakyat mengharapkan kita melaksanakan program dan projek ini tetapi malangnya tidak siap dilaksanakan,” katanya di sini hari ini.

Hajiji berkata, kerajaan akan memberi perhatian serius dalam perkara ini dan menerima maklumat daripada Kementerian Kewangan berkaitan prestasi pelaksanaan projek tidak memberangsangkan pada tahun ini.

Hajiji berkata, pegawai kanan kerajaan perlu memantau serta memberi maklum balas terhadap prestasi sebenar berkaitan projek di kawasan mereka.

“Justeru, saya mahu semua pihak yang berkaitan memberi perhatian sepenuhnya termasuk untuk memantau semua program dan projek yang dilaksanakan kerajaan.

“Jika projek untuk rakyat tidak dapat dilaksanakan, rakyat akan rugi dan marah kepada kerajaan termasuk saya sebagai Ketua Menteri,” katanya.

Dalam tempoh sama, peranan pegawai daerah perlu memainkan peranan tapi jangan membelakangkan peraturan yang telah ditetapkan.

“Pegawai daerah jangan terlalu memandai-mandai. Saya akan memantau prestasi pegawai daerah. Saya juga terima laporan ada yang pandai dan ada juga yang ‘memandai-mandai…. Saya juga menerima laporan daripada orang ramai dari kawasan masing-masing.

“Selaku Ketua Menteri, saya ingin tegaskan bahawa saya akan menjadi lebih keras (i am going to be tough) dengan semua pegawai daerah.

“Jangan marah saya sebab macam-macam laporan yang kita terima. Jadi, sekiranya laporan yang diterima ini benar atau betul, saya tegaskan di sini saya tidak akan teragak-agak untuk ambil tindakan,” katanya.