Habuan dan tekanan parti pemerintah punca ADUN Warisan lompat parti – Loretto

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu mengaku antara punca Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) meninggalkan parti disebabkan habuan serta tekanan daripada parti pemerintah.

Setiausaha Agung Parti Warisan (WARISAN), Datuk Loretto J. Padua berkata, mungkin dalam kalangan ADUN ini berfikiran hanya menyertai parti memerintah barulah mempunyai hala tuju untuk membantu rakyat di kawasan mereka.

Katanya, GRS mesti mengakui mana-mana ADUN meninggalkan parti asal disebabkan tekanan daripada pihak pemerintah atau disebabkan oleh janji serta faktor habuan wang ringgit.

“Kita masih tertanya-tanya pernahkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan terhadap kenyataan terbuka Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador suatu ketika dulu menyatakan bahawa ahli politik datang ke Sabah (membeli kraftangan) dan selepas daripada itu, ada ADUN yang melompat.

“Pernahkah SPRM menyiasat perkara ini?…..Adakah kerajaan maklum berkaitan perkara ini sedangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pernah menjadi mangsa akibat daripada ADUN serta Ahli Parlimen mereka juga melompat pada ketika itu,” katanya salam kenyataan di sini hari ini.

Loretto mengulas kenyataan Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menyifatkan dakwaan pembelian wakil rakyat Parti Warisan (Warisan) yang ditimbulkan presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal baru-baru ini, sebagai satu fitnah.

Menurut Loretto kenyataan dibuat Shafie di Parlimen adalah untuk meminta agar pihak berkuasa termasuk SPRM sekali gus menyiasat tindakan ADUN WARISAN yang keluar meninggalkan parti.

“Ini kerana salah satu ADUN yang melompat itu sebelum ini sudah membuat rakaman video mengatakan bahawa dia pernah ditawarkan duit serta jawatan untuk keluar daripada Warisan, namun memilih bersama WARISAN.

“Rakyat sudah bijak….Kita ingin bertanya adakah ADUN-ADUN ini akan keluar sekiranya Warisan adalah sebahagian daripada parti pemerintah,”

katanya.

“Untuk rekod, Shafie tidak pernah meninggalkan parti asalnya hanya disebabkan parti itu tidak lagi berkuasa atau menjadi pemerintah.

“Shafie keluar daripada parti asalnya yang juga parti pemerintah pada masa itu dan berdepan dengan parti pemerintah itu pada Pilihan Raya Umum (PRU14) lalu,” katanya.

Dalam tempoh sama Loretto bertanya kepada GRS berapakah jumlah orang ahli politik yang sanggup keluar daripada parti asal mereka dalam menjadi parti memerintah sekali gus melawan parti pemerintah tersebut?

“Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan di Sabah hanya Tan Sri Pairin dan Datuk Seri Shafie sahaja di negeri ini.

“Selain itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah melakukan perkara yang sama 25 tahun lalu…Namun terdapat juga pemimpin lain yang berani serta berjuang bersungguh-sungguh untuk kepentingan hak negeri Sabah,” katanya.