TAWAU : Seorang lelaki yang bergurau membawa bom membawa padah selepas ditahan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Tawau (LTT), di sini semalam.
Dalam kejadian jam 8.20 pagi itu, lelaki berusia, 30, ditahan di kaunter pendaftaran masuk penerbangan ketika pemeriksaan barang dilakukan oleh kakitangan LTT.
Difahamkan, suspek bersama isteri dan dua orang anaknya dari Semporna ke LTT bagi menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, ketika ditanya isi kandungan barang yang dibawanya, suspek dengan spontan menyebut ‘bom’ sehingga didengari kakitangan LTT lain di kaunter bersebelahan.
Petugas LTT kemudian segera memaklumkan pengurusnya sebelum suspek ditahan Polis Bantuan LTT.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas, dalam sidang media, di pejabatnya hari ini, mengesahkan kejadian tersebut.
“Sepasukan Unit Pemusnah Bom dikerahkan melakukan pemeriksaan di kawasan lapang Bandar Sri Indah sebelum menemui hanya bungkusan makanan di dalamnya.
“Suspek dipercayai bertindak demikian selepas dikatakan tidak berpuas hati dengan kakitangan LTT ketika melakukan pendaftaran masuk penerbangan,” katanya.
Suspek dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan selepas didakwa melakukan ugutan jenayah.
SabahNewsToday