GRS runding agihan kerusi dengan PH bulan ini – Hajiji

KOTA KINABALU : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengadakan perbincangan dengan semua parti komponen termasuk rakan politik, Pakatan Harapan (PH) bulan ini, berkait agihan kerusi berdepan PRN Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat nanti di pihak GRS dan Gagasan Rakyat untuk berbincang agihan kerusi untuk ditandingi.

“Ini termasuk perbincangan parti kita dan kerjasama dengan parti lain terutama PH. Sabar, lama lagi ada satu tahun lagi (untuk bubar DUN),” katanya di sini semalam.

Beliau berucap merasmikan Konvensyen Mahasiswa GRS di Sembulan, di sini semalam.

Hajiji merupakan Pengerusi GRS juga menasihatkan pemimpin parti komponen gabungan mengetepikan sikap mementingkan diri sendiri dan mengelak melakukan perkara boleh menjejaskan usaha gabungan itu membela nasib rakyat.

Beliau berkata, pemimpin parti komponen GRS perlu sentiasa mengingati perjuangan asal gabungan itu, iaitu untuk membangunkan Sabah dan membela rakyatnya.

“Kita tidak boleh pentingkan diri kita sendiri, kita kena fikirkan dahulu rakyat kita.

“Kalau hanya pentingkan diri dan parti (komponen) kita, ini boleh rosakkan perjuangan kita dalam GRS,” jelas Hajiji.

Menururnya, ini akan jejaskan usaha untuk mentadbir serta membela rakyat sekali gus perjalanan masih jauh serta banyak lagi perlu dilakukan.

“Buang ego, buang fikiran yang memudaratkan usaha kita bangunkan Sabah. Itu (sebab) kita panggil kawan-kawan (parti komponen) dalam GRS supaya bersama kita bangunkan Sabah, untuk rakyat kita ini,” katanya.

Parti komponen GRS terdiri daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Usno, Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), LDP, dan PCS.