KIULU – Hasrat rakyat Sabah untuk melihat parti-parti tempatan menerajui pentadbiran negeri kini menjadi kenyataan menerusi kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai.
Menurut beliau, GRS yang merupakan gabungan parti-parti berteraskan tempatan kekal sebagai platform terbaik untuk menyatukan rakyat.
“Ini sekali gus membawa Sabah ke arah kemajuan, selain terus mempertahankan hak serta kepentingan negeri.
“Rakyat sudah lama mahu melihat parti tempatan menentukan halatuju Sabah dan perkara itu kini direalisasikan menerusi GRS,” katanya di sini semalam.
Joniston yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu dan Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, sentimen rakyat semakin jelas menunjukkan sokongan kepada kepimpinan parti tempatan yang kukuh dan bersatu.
Katanya, sokongan Pakatan Harapan (PH) kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor turut mencerminkan pengiktirafan terhadap aspirasi rakyat yang mahu kerajaan negeri terus diterajui parti-parti tempatan.
“Ini berbeza dengan Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) yang menyokong UMNO dalam cubaan mengambil alih kerajaan negeri menerusi Langkah Kinabalu pada Januari 2023,” ujarnya.
Tambah beliau, GRS kekal relevan sebagai gabungan yang mengutamakan kerjasama membina dan saling menghormati antara parti komponennya demi kebajikan rakyat.
