Golongan wanita harus miliki kemahiran serta peka peluang disediakan kerajaan

PUTATAN: Golongan wanita yang ingin berkecimpung dalam bidang perniagaan harus memiliki kemahiran serta mengetahui peluang, potensi dan bantuan yang ditawarkan oleh kerajaan serta badan lain.

Ketua Bahagian UMNO Putatan Jeffrey Nor Mohamed berkata,  antara jabatan  yang terlibat secara langsung  dalam memberikan bimbingan   ialah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang mengambil inisiatif melatih masyarakat terutama dalam bidang kemahiran.

Jeffery tertarik dengan satu gubahan kraftangan bunga yang dihasilkan oleh perserta kursus tersebut.

Menurut beliau, antara program Kursus Kemahiran yang dilaksanakan oleh KEMAS ialah  Quick Win, Kursus Kemahiran Jangka Pendek, Sijil Kemahiran Malaysia dan beberapa kursus lagi dalam usaha untuk membantu masyarakat terutamanya diluar bandar.

“Kita mahu penglibatan wanita dalam bidang kemahiran ini akan dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk meningkatkan kadar penyertaan wanita dalam bidang keusahawanan,” katanya ketika merasmikan kursus kraftangan anjuran KEMAS dengan kerjasama Kawasan Rukan Tetangga (KRT) Kampung Lokawi Baru dekat sini, kelmarin.

Sehubungan itu, Jeffrey yang juga Pengerusi Penasihat Giat Mara Parlimen Putatan berharap program-program yang dianjurkan oleh KEMAS akan dimanfatkan sepenuhnya oleh golongan wanita bagi terus memartabatkan kaum hawa itu.

“Saya menyeru golongan wanita dan masyarakat untuk menyertai dan mengambil peluang mencorak kehidupan yang lebih baik sekali gus dapat meningkatkan peluang penjanaan pendapatan dan mengurangkan kadar pengangguran terutamanya bagi golongan B40,” tambahnya.

Tambah beliau, program KEMAS ini juga adalah platform untuk memperkenalkan serta mempromosi produk usahawan bimbingan jabatan itu secara terbuka.

Katanya, UMNO bahagian Putatan akan sentiasa menyokong apa juga usaha yang dilakukan oleh jabatan dan agensi kerajaan berkaitan dalam usaha bukan sahaja memberikan kemahiran kepada masyarakat sekali gus membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi mereka keluar dari garis kemiskinan.