Generasi muda perlu sertai program jati diri dan kepimpinan – Aminah Aching

BEAUFORT : Generasi muda digesa melibatkan diri dalam program jati diri dan kepimpinan bagi menghindarkan mereka daripada terlibat dengan aktiviti tidak berfaedah.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Siti Aminah Aching berkata melalui program kepimpinan dan jati diri, generasi muda mampu mencari potensi diri mereka dan menggunakannya ke arah kebaikan sejagat.

Justeru, katanya, kerajaan sentiasa menggalakkan belia-belia aktif dalam kegiatan sukan dengan menyediakan pelbagai kemudahan sukan di setiap daerah dan ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Pewujudan gelanggang-gelanggang sukan seperti futsal adalah usaha kerajaan yang sangat dialu-alukan kerana membolehkan golongan belia mempunyai kemudahan untuk bergiat aktif dalam sukan,” katanya dalam ucapan perasmian dan penutupan Kejohanan Bola Sepak 9 sebelah anjuran Pusat Khidmat Parlimen Beaufort  di Kompleks Sukan Beaufort, semalam.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh  Pegawai Khas Parlimen Beaufort Jaludin Kadir yang mewakili beliau.

Sehubungan dengan itu Aminah yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, Pusat Khidmat Parlimen Beaufort terpanggil untuk menganjurkan kejohanan bola sepak tersebut kerana meyakini sukan bola sepak mampu menarik minat generasi muda menyertainya.

Katanya ia dijadikan landasan untuk memperkasakan modal isan dalam kalangan belia disamping aktiviti seperti ini juga  dapat menerapkan ciri-ciri kerja sama, hormat menghormati dan peningkatan disiplin di kalangan belia.