Galeri Azman Hashim UMS Bantu Martabat Karya Seni Tempatan

KOTA KINABALU: Galeri Azman Hashim Universiti Malaysia Sabah (GAH-UMS) berupaya membantu memartabatkan karya seni tempatan selaras dengan visi penubuhannya sebagai sebuah pusat sehenti pameran, promosi dan jualan produk seni bagi perkembangan ilmu dan pelancongan.

Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata, GAH-UMS juga turut menyediakan ruang kepada artis dan pengkarya seni dan organisasi dalam mempamer, mempromosi dan menjual karya seni dan produk berkaitan kesenian, serta meningkatkan pengetahuan baru masyarakat dalam pelbagai bidang melalui pelbagai program yang berkonsepkan ilmiah.

“Konsep galeri bukan sahaja mempamerkan karya visual tetapi galeri membuka ruang untuk seni persembahan dan pendidikan seperti seminar, bengkel seni, seni kraf tempatan dan lain-lain.

“Melalui aktiviti pameran yang dianjurkan pula telah menarik banyak pengunjung dari dalam dan luar negara untuk melawat galeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian GAH-UMS baru-baru ini.

Majlis perasmian galeri tersebut disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah merangkap Canselor UMS, Tun Juhar Mahiruddin dan turut dihadiri Pro Canselor UMS Tan Sri Azman Hashim.

Kasim berkata, pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada GDP Architects & KEAN Architectatas kejayaan memperoleh pingat Emas daripada Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) AWARDS 2023 dalam kategori Public & Institutional bagi reka bentuk bangunan GAH.

Kejayaan itu juga katanya sekali gus menaikkan nama GAH-UMS yang telah mula dibuka kepada umum pada 24 November 2021.

“Untuk pengetahuan semua, GAH-UMS turut menjadi tempat pilihan bagi penganjuran majlis atau aktiviti yang berskala besar sebagai contoh baru-baru ini sambutan Majlis Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan peringkat UMS diadakan dengan meriah di sini.

“Ramai pelajar dan kakitangan yang hadir berasa teruja melihat sendiri keindahan dan keunikan bangunan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Azman ketika berucap pada majlis tersebut memaklumkan keseluruhan galeri tersebut mempunyai kawasan binaan melebihi 2,500 meter persegi, dan mempamerkan struktur bulat unikyang dikenali sebagai Menara Beriu.

“Galeri ini terdiri daripada dua peringkat ruang pameran tertutup dan terbuka, bilik seminar, auditorium mini, bilik digital dan conservatory deck di atas bumbung.

“Pada masa ini galeri menempatkan lebih 240 lukisan, arca dan objek seni visual dan gunaan lain dalam pelbagai gaya yang dicipta oleh kebanyakan artis tempatan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada staf UMS khususnya warga Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTIF) dan GAH-UMS yang telah melaksanakan usaha mempromosikan dan menggalakkan pembangunan ekosistem seni visual melalui GAH secara berterusan.