Gaji minimum adil penting untuk mengatasi kos sara hidup di Sabah

KOTA KINABALU : Pengumuman Kerajaan Persekutuan mengenai kadar gaji minimum RM1,700 disambut baik sebagai satu langkah positif.

Pengerusi Yayasan Pengguna Kebangsaan Sabah, David Chan berkata, namun masih terdapat cabaran besar yang dihadapi oleh pekerja di Sabah.

Katany, pekerja di Sabah telah lama menerima gaji yang jauh lebih rendah berbanding di Semenanjung Malaysia.

“Sedangkan kos sara hidup di negeri ini jauh lebih tinggi berbanding mereka berada di semenanjung.

“Harga barangan asas, makanan dan perbelanjaan harian di Sabah sering kali lebih mahal berbanding di Semenanjung Malaysia.

“Ini termasuk faktor seperti kos logistik, kadar inflasi dan cabaran ekonomi tempatan menyebabkan harga meningkat, tetapi kadar gaji tidak berkembang seiring. Ini memberi tekanan besar kepada rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

David berkata, jurang ini telah berlarutan terlalu lama, dan sudah tiba masanya untuk kerajaan menilai semula kadar gaji minimum yang lebih realistik bagi pekerja di Sabah.

“Yayasan Pengguna Kebangsaan Sabah percaya bahawa kadar RM1,700 adalah wajar bagi membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup.

“Kita menegaskan bahawa dasar gaji minimum tidak boleh menggunakan pendekatan seragam bagi seluruh negara,” jelas David.

Menurutnya, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk bekerjasama dalam menangani isu ini.

“Struktur gaji minimum harus mengambil kira perbezaan kos hidup antara negeri agar rakyat Sabah menerima gaji yang adil dan setimpal.

“Kita berharap agar pembuat dasar dapat menilai semula serta melaksanakan kadar gaji yang lebih inklusif dan realistik, sejajar dengan cabaran ekonomi di setiap negeri,” kata David.

Beliau menegaskan sudah tiba masanya pekerja di Sabah mendapat pengiktirafan yang setimpal dengan beban kos sara hidup mereka.

“Dengan dasar gaji yang lebih baik, mereka bukan sahaja dapat menjalani kehidupan yang lebih bermaruah, tetapi juga mencapai kestabilan kewangan untuk masa depan yang lebih cerah,” tambahnya.