Perkhidmatan Pos Shop perlu diperluaskan ke seluruh daerah di Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU : Perkhidmatan Pos Shop pertama di Sabah mampu memenuhi keperluan pelanggan, sekali gus memberi manfaat kepada seluruh usahawan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, perkhidmatan ini dijangka mampu menjana pendapatan tambahan kepada Perusahan Kecil dan Sedarhana (PKS).

Katanya, inisiatif ini perlu diperluaskan ke daerah lain bagi memenuhi keperluan rakyat Sabah.

“Langkah Pos Malaysia membuka Pos Shop mencerminkan tekad ke arah transformasi perkhidmatan untuk memenuhi keperluan pelanggan dalam era digital masa kini.

“Inisiatif Pos Shop merupakan usaha menyediakan perkhidmatan lebih moden serta relevan memenuhi kehendak pelanggan terutama di Sabah,” katanya.

Teksnya ucapan dibacakan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Negeri, Datuk Phoong Jin Zhe.

Hajiji berkata, Sabah terkenal kaya pelbagai sumber semula jadi serta potensi ekonomi besar, terus berkembang pesat dalam sektor perdagangan, pelaburan dan pelancongan.

“Pembukaan kedai serbaneka Pos Shop di Kota Kinabalu meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat serta menyokong agenda pembangunan ekonomi Sabah.

“Pos Shop menawarkan pelbagai produk, perkhidmatan kepada pelanggan sejajar pelan transformasi Pos Malaysia.

“Ini mampu memanfaatkan rangkaian pejabat pos sedia ada berjumlah lebih 600 pejabat pos di seluruh Malaysia, termasuk 40 pejabat pos di Sabah,” jelas Hajiji.

Menurutnya, perkhidmatan pembayaran bil, pembaharuan insurans dan cukai jalan, penghantaran barang, pelaburan, pembelian setem merupakan perniagaan Pos Malaysia sejak lebih dua abad lama.

“Konsep inovatif ‘Shop In Shop’ berbeza konsep asal kini mengintegrasikan Pejabat Pos dalam suasana lebih moden dan mesra pelanggan.

“Pejabat Pos kini berfungsi sebagai pusat sehenti untuk komuniti setempat menggabungkan kemudahan membeli-belah untuk keperluan harian dalam suasana lebih selesa dan menyenangkan”, kata Hajiji.