Gagasan Rakyat letak calon rampas kerusi DUN Sukau, Lamag – Masiung 

KINABATANGAN : Perubahan politik bakal berlaku di kawasan tradisi UMNO membabitkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau dan Lamag selepas Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) membentuk jajaran baharu yang cukup meyakinkan rakyat di negeri ini.

Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Masiung Banah berkata, parti tempatan itu bakal meletakan calon terbaik menjelang Pilihanraya Umum Negeri (PRN) Ke-17 bagi merampas kerusi di kedua-dua kawasan itu nanti.

Katanya, berdasarkan sambutan luar biasa pada dua siri lawatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ke Sukau memberi petanda jelas bahawa parti itu semakin popular sekali gus mendapat sokongan majoriti masyarakat akar umbi.

“Gagasan Rakyat adalah parti tempatan, kita mampu meraih sokongan yang besar untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau dan Lamag.

“Saya melihat landskap politik di kedua-dua DUN memperlihatkan perubahan ketara kebelakangan ini.

“Kita Gagasan Rakyat bersama parti komponen Gabungan Rakyat Sabah Sabah (GRS) akan bekerja keras memastikan kemenangan menjelang PRN ini,” katanya di sini hari ini.

Masiung merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata, pihak kerajaan tetap menunaikan kepada rakyat manakala berbeza dengan kumpulan pembangkang hanya mampu mencipta cerita dan menabur janji palsu kepada rakyat.

“Parti pembangkang hanya mampu mereka cipta isu supaya rakyat membenci pemimpin kerajaan sambil mencipta tomahan untuk mendapatkan sokongan.

“Sebelum ini Ketua Menteri telah memberi jaminan akan menumpuhkan perhatian khusus kepada Sukau dan Lamag,” jelas Masiung.

“Langkah menubuhkan Pejabat Daerah Kecil Sukau telah terlaksana pada 15 Februari lalu selain pembinaan dewan Sukau bernilai RM3 juta.

“Semasa Majlis Berbuka Puasa kelmarin, Ketua Menteri turut mengumumkan kerja-kerja menambahbaik Masjid Tun Juhar.

Sehubungan itu, Pejabat Daerah Kecil Sukau dan Jawatankuasa masjid diarah mengemukakan spektafikasi kerja secepat mungkin,” kata Masiung.