FSSA UMS Anjur Seminar Sains dan Teknologi ke-15

KOTA KINABALU: Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) Universiti Malaysia Sabah (UMS), menganjurkan Seminar Sains dan Teknologi (S&T 2022) ke-15 dengan tema Sustaining and Enhancing Environmental’, baru-baru ini.

Seminar selama dua hari itu mengkategorikan lapan tema kluster berkaitan Sains Persekitaran, Biodiversiti dan Sumber Asli,Perhutanan dan Agrisains Lestari, Tenaga, Kejuruteraan dan Teknologi, Matematik dan Statistik serta Sains Kesihatan dan Perubatan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta Grafik Komputer.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan AlumniUMS, Profesor Madya Dr. Raman Noordin, menerusi seminar tersebut, minda-minda muda yang terdiri daripada para penyelidikbaharu dapat dirangsang dan hasil penyelidikan serta pengalaman dapat dikongsikan.

Biarpun seminar ini menjadi penanda aras kejayaan institusi kita, ia juga membolehkan kita bertemu dengan minda cemerlang yang menjadi penceramah utama kali ini.

Persidangan atau seminar membentuk ruang sosial apabila penyelidik bertemu dengan penyelidik lain, menjalin hubungan baharu, mengekalkan hubungan lama, mengadakan ceramah penerokaan dan memulakan kerjasama,” ujarnya.

Tambah Raman yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMS, seminar akademik juga boleh menghasilkan banyak impak saintifik dan kemasyarakatan.

Saya yakin, dalam seminar ini para peserta akan dapat meningkatkan produktiviti terutama dalam penghasilan penyelidikan.

Justeru, saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada pakar-pakar yang sanggup meluangkan masa mereka untuk berkongsi pandangan penyelidikan dan kepakaran dengan penyelidik muda dan komuniti universiti,” katanya ketika berucap merasmikan seminar.

Sementara itu, Dekan FSSA, Profesor Dr. Jualang Azlan Gansauberkata, seminar tersebut memberikan peluang kepada semua penyelidik untuk berinteraksi, bertukar idea dan mengetengahkan aktiviti penyelidikan masing-masing melalui pelbagai disiplin dalam sains dan teknologi di samping menjalin rangkaian penyelidikan.

Penyertaan daripada pelbagai disiplin dalam seminar ini dapat memantapkan ekosistem penyelidikan di UMS dan Malaysia, secara amnya.

“Ini adalah penting bagi kita sebagai komuniti penyelidik untuk mengekalkan dan mengukuhkan hubungan kita supaya dapat berbakti dan menyumbang kepakaran kepada komuniti di peringkat nasional dan juga global.

“Selain itu, dengan berinteraksi dan berkongsi dapatan kajian masing-masing, sudah tentu akan dapat mencipta dan menambah baik idea serta konsep sedia ada dalam penyelidikan,” katanya.

Pada seminar itu, sebanyak 53 kertas kerja telah dibentangkan menerusi lapan sesi dengan tema berbeza dimasukkan dalam buku prosiding S&T 2022, manakala lapan kertas terpilih akan diterbitkan dalam Science, Engineering and Health Studies (SEHS) Journal yang diindeks oleh Scopus.