KOTA KINABALU : Festival Teater Universiti Malaysia Sabah (UMS) Opera anjuran pelajar Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) mampu menjadi platform untuk menonjolkan bakat dalam seni pementasan teater.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, program dikendalikan pelajar tahun tiga merupakan wadah kepada satu proses pembelajaran bernilai kepada pelajar dalam menyampaikan mesej melalui persembahan.
“Menerusi acara ini juga pelajar berupaya memupuk semangat kerjasama, ketekunan dan kecekapan organisasi yang penting dalam pembangunan akademik dan sahsiah mereka.
“Justeru, penghargaan diucapkan kepada semua yang terlibat khususnya kepada tenaga pengajar dan panel penilai yang telah memberi sokongan kepada pelajar dalam menjayakan festival ini,” katanya.
Teks ucapannya dibacakan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin.
Kasim berkata, pengalaman diperoleh menerusi program tahunan ASTiF akan memberi impak positif dalam perjalanan kehidupan dan kerjaya pelajar.