Fasa 4 Sabah buka lebih banyak peluang kerja

KINABATANGAN: Peralihan Sabah ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) diharap memberi peluang penduduk yang kehilangan pekerjaan sebelum ini bekerja semula.

Ini kerana aktiviti perniagaan dan perkhidmatan dibenarkan kehadiran pekerja lebih ramai, di samping masa operasi lebih panjang berdasar ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah.

Pengerusi Lajnah Pengguna, Pekerja dan Alam Sekitar, Dewan Pemuda PAS Sabah, Asrul Samat, majikan dicadang menyediakan semula peluang pekerjaan kepada pekerja yang diberhentikan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Katanya, Fasa empat di Sabah membuka ruang kepada ramai penduduk yang kehilangan pekerjaan dapat mencari rezeki.

“Perkara ini wajar dipertimbangkan kerana operasi sektor perniagaan dan perkhidmatan dalam PPN Fasa Empat memerlukan semula khidmat pekerja berpengalaman bagi kelancaran operasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya juga peningkatan jumlah individu yang lengkap dua dos vaksin Covid-19 di Sabah membolehkan lebih ramai golongan pekerja kembali bekerja seperti sebelum wabak berlaku.

“Penduduk yang kehilangan peluang pekerjaan kerana wabak perlu diberi peluang untuk membolehkan mereka membina kehidupan baru bagi menyara kehidupan keluarga,” ujarnya.