14 tahanan warga Filipina lari dari pusat tahanan di Kimanis; tujuh masih diburu

PAPAR: Seramai 14 warga Filipina melarikan diri dari Pusat Tahanan Imigresen di Kimanis, di sini, hari ini.

Tujuh daripada mereka telah ditangkap semula manakala selebihnya masih diburu polis.

Ketua Polis Daerah, DSP Batholomew Ak Umpit berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 pagi ketika 14 lelaki berusia antara 22 hingga 44 tahun itu bertindak keluar dari pusat tahanan tersebut.

Katanya, tujuh daripada mereka telah ditemui dan ditangkap semula setakat 10.45 pagi tadi di pelbagai lokasi dalam radius 2km dari pusat tahanan.

“Sementara yang selebihnya lagi masih diburu dan percayai masih berada di dalam daerah,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Papar.