PENAMPANG – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick meninjau beberapa kawasan terjejas banjir di daerah ini dan Kadamaian, termasuk Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta kampung-kampung yang dinaiki air.
Antara lokasi yang dilawati termasuk PPS Dewan Sacred Heart Inobong yang menempatkan 208 mangsa dari Kampung Inobong, Kimoligan dan Putaton.
Menurut beliau, paras air Sungai Moyog masih melimpah dan memasuki kawasan rumah penduduk, menyebabkan ramai terpaksa dipindahkan.
“Semalam saya turut meninjau PPS Kampung Ramayah yang menempatkan 87 mangsa dari Kampung Nambazan dan Kampung Limbanak,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, bantuan awal berupa makanan, minuman dan tilam telah disalurkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah kepada semua mangsa terlibat.
Bagaimanapun katanya, laluan utama dari Pekan Donggongon ke PPS Kampung Ramayah masih belum dapat dilalui kenderaan biasa, menyukarkan penghantaran makanan siap dimasak.
“Buat masa ini, mangsa mengambil inisiatif memasak bahan mentah yang dibekalkan. Laluan alternatif seperti Jalan Divato Tomui dan Jalan Guunsing turut dinaiki air, tetapi masih boleh dilalui,” katanya.
Sementara itu, di Kadamaian, beliau turut meninjau beberapa kampung seperti Pangi, Pituru dan Pompod selepas menyempurnakan Konvensyen Rakyat Kadamaian.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, beberapa laluan utama ke kampung terputus hubungan dan hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda.
“Jika paras air terus meningkat, kenderaan besar sekalipun tidak akan dapat melalui jalan-jalan ini, menyebabkan penduduk berisiko terkandas,” katanya.
Beliau memaklumkan, bantuan makanan dan minuman telah dihantar ke Kampung Pituru dan Kampung Pangi oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Belud, manakala Kampung Pompod akan menerima bantuan dalam masa terdekat.
“Beberapa individu dan sukarelawan melalui kelab pacuan empat roda juga telah menghulurkan bantuan bakul makanan kepada penduduk terjejas,” katanya.
Menurutnya, beliau sentiasa berhubung dengan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan terlibat untuk memantau keadaan dan memastikan bantuan disalurkan segera.
“Pusat Khidmat ADUN Kadamaian juga akan menyediakan bakul makanan tambahan sebagai pelengkap kepada bantuan rasmi,” katanya.
