ESSCOM sentiasa tingkat hadapi sebarang ancaman luar – Hamzah

LAHAD DATU: Kesiapsiagaan berdepan sebarang ancaman luar termasuk daripada kumpulan militan dan penjenayah rentas sempadan sentiasa dipertingkatkan di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Datuk Hamzah Ahmad berkata kawasan ESSZone dan Sabah amnya masih berdepan ancaman keselamatan kumpulan militan seperti Daulah Islamiyah-Maute Group (DI-MG) serta Pejuang Pembebasan Islam  Bangsamoro (BIFF) yang bergerak aktif di negara jiran.

“Hal ini kerana pasukan keselamatan negara jiran yang melaksanakan operasi ofensif berterusan memberi tekanan kepada kumpulan-kumpulan ini dan dikhuatiri berlaku kesan limpahan dari negara jiran sekali gus memberi ancaman kepada ESSZone.

“Sebab itu saya mohon seluruh (anggota) ESSCom menggembleng usaha memastikan keselamatan dan kedaulatan Zon Selamat Timur Sabah terus terpelihara,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Hari Ulang Tahun ke-10 ESSCom, di sini, hari ini.

Beliau berkata semua pihak terutama rakyat di negara ini tidak mahu melihat peristiwa pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu, sedekad lalu (Februari 2013), berulang dan menggugat keamanan yang telah dikecapi pada masa ini.

Peristiwa berdarah tragedi Tanduo yang mengorbankan 10 perwira negara dan 68 anggota kumpulan penceroboh didakwa kumpulan pewaris Sulu tercetus selepas kira-kira 100 penceroboh dari selatan Filipina mendarat di pantai Kampung Tanduo, kira-kira 130 kilometer dari bandar Lahad Datu pada 12 Feb 2013.

Hamzah berkata pihaknya melaksanakan pelbagai operasi tertumpu di kawasan ESSZone dengan penekanan kepada pemantapan aspek keselamatan di sempadan  antarabangsa.

“Pada tahun ini kita memperkasa Operasi Sanggah ESSCom di ESSZone, di samping meneruskan operasi termasuk Op Gasak Laut dan Op Gasak Darat serta Op Bersepadu bagi mengesan sekali gus mengekang jenayah rentas sempadan mahupun anasir luar pencerobohan.

“Selain itu kita juga mengekalkan penugasan pos kawalan pasukan keselamatan di daratan iaitu Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) Sapi Nangoh serta Kalabakan  manakala lokasi  yang berada jauh dari penempatan pos kawalan, kita akan menggunakan teknologi keselamatan termasuk sistem radar,” katanya.

Sementara itu, Hamzah, berkata ESSCom turut merancang pembinaan pangkalan bot ronda Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sungai Seguntur, Sandakan di bawah rolling plan ketiga (RP3) Rancangan Malaysia ke-12 tahun 2023.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, beliau berkata pihaknya masih dalam proses menubuhkan Pusat Pemeriksaan Laut (SCP) bagi membanteras jenayah rentas sempadan.

Katany, ESScom turut memperhebat penglibatan masyarakat bersama kerajaan dalam menjaga keselamatan negara selain memperkukuh semangat patriotisme rakyat.