Enam pelajar IPT Labuan terima Biasiswa MAIWP

LABUAN : Enam pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dari Wilayah Persekutuan Labuan yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam negara dipilih menerima bantuan Biasiswa Insentif Khas Pelajar Cemerlang Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berjumlah keseluruhan RM208,117.50.

Majlis penyampaian dokumen perjanjian biasiwa berkenaan telah disempurnakan oleh Pengurus MAIWP Labuan Md Fadzli Md. Saad di Pejabat MAIWP Labuan, di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengurus Operasi MAIWP Labuan Mohd Radzaleih Matusian dan Ketua Unit Agihan Zakat MAIWP Labuan Nur Atilla Jasneh.

Md Fadli dalam ucapannya berkata, pihak MAIWP telah menerima seramai 17 permohonan, bagaimanapun hanya enam pemohon yang berjaya dipilih menerima biasiswa berkenaan bagi sesi 2024.

“Pemilihan dibuat berdasarkan keputusan akhir peperiksaan peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Diploma dan Matrikulasi serta perkiraan had kifayah keluarga,” katanya.

Enam pelajar IPT yang terpilih menerima biasiswa antara RM 24,587.50 hingga RM53,750.00 itu ialah Nurhafaliza Roziman yang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dalam jurusan Kejururawatan, Nurfaatin Awang Damit penuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan dan Kewangan dan Nor Qhairunisa Muhamad Azri jurusan Pentadbiran Kesihatan di UiTM .

Tiga lagi masing masing Nur Shafiqah Johari dalam jurusan Sains Molukel di UiTM , Nurul Syaqilla Yusaili dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan di Universiti Malaya dan Muhammad Izam Mushadat Gasfar dalam jurusan Perubatan dan Pembedahan di UiTM.

Md Fadli berkata MAIWP berharap dengan adanya biasiswa itu dapat meringankan beban tanggungan kos sepanjang pengajian dalam waktu yang sama dapat meningkatkan kecemerlangan pelajar berkenaan.