Elakkan kes kembali meningkat – Khairy

KUALA LUMPUR: Orang ramai diingatkan supaya memainkan peranan bagi memastikan tidak akan berlaku lagi kemuncak jangkitan kes COVID-19 di negara ini, selepas pergerakan rentas negeri dibenarkan bermula hari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata negara kini sedang berada dalam fasa penurunan kes, selepas berdepan kemuncak yang disifatkannya sebagai bencana dan putus harapan.

Melalui Twitter, Khairy turut berkongsi imej Model SEIR Unjuran dan Pemerhatian Kes Harian COVID-19, yang menunjukkan graf kes harian COVID-19 di Malaysia dari 1 April hingga 31 Disember 2021.

“Ketika kita membenarkan perjalanan rentas negeri bermula hari ini, tolong ingat imej ini. Kita sedang berada dalam penurunan daripada kemuncak bencana dan putus asa.

“Pakai mask (pelitup muka), pantau SOP (prosedur operasi standard) dan amalkan TRISS (Test, Report, Isolate, Inform dan Seek),” katanya.

Berkuat kuasa hari ini, rakyat yang lengkap menerima vaksinasi COVID-19 dibenarkan untuk melakukan pergerakan rentas negeri tanpa memerlukan kebenaran polis, selepas kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di negara ini mencapai 90 peratus, semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ketika mengumumkan perkara itu semalam, berkata serentak itu rakyat dibenarkan melakukan aktiviti pelancongan ke mana-mana negeri, selain bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung.

Negara sebelum ini mencatatkan kes harian COVID-19 yang tinggi sekitar Ogos dan September lalu, dengan ada antara hari yang mencatatkan lebih 20,000 kes dengan jumlah kes tertinggi adalah pada 26 Ogos lalu iaitu sebanyak 24,559 kes.