KOTA KINABALU : Ekonomi Sabah telah mencatat pertumbuhan yang menggalakkan, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat daripada RM82.1 bilion pada 2023 kepada RM83.2 bilion pada 2024.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, ini menunjukkan momentum peningkatan berterusan dan perkembangan positif di Sabah.
Beliau berkata, ini selari dengan KDNK nasional dijangka meningkat 2.5 peratus melalui Rangka Kerja Ekonomi Madani melihat penyusunan semula ekonomi Malaysia di bawah Belanjawan Nasional 2025.
“Pencapaian ini adalah hasil kerjasama dari pelbagai pihak di negeri ini.
“Jika kita terus menyumbang tenaga kita secara positif melalui kerjasama yang erat, tidak mustahil untuk melaksanakan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya kita dengan jayanya,” katanya di sini hari ini.
Hajiji berkata, semua perlu memastikan semua inisiatif dan program di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya dilaksanakan.
“Ini untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kehidupan rakyat.
“Dibawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Kerajaan Negeri telah merangka Hala Tuju Pembangunan Strategik Negeri sebagai satu langkah proaktif untuk mamacu ekonomi dan pembangunan negeri Sabah bermula dari 2026 hingga 2030,” jelas Hajiji.
Menurutnya, ia merupakan kerangka awal yang mengambil kira keperluan Dasar, Blueprint dan Pelan Pembangunan semasa.
“Pelbagai inisiatif akan diwujudkan merangkumi penerokaan inisiatif Ekonomi Biru selain setiap agenda pembangunan negeri di bawah RMK13.
“Walaupun terdapat pelbagai kejayaan melalui inisiatif Hala Tuju SMJ dan angka positif dari semua data yang dikeluarkan setakat ini, Kerajaan Negeri tidak boleh berehat dan menjadi selesa,” katanya.
“Kita mesti terus bekerja keras dan lebih proaktif. Semua kepimpinan negeri, ketua jabatan dan ketua peringkat daerah mesti lebih kerap turun padang untuk memantau pelaksanaan program atau projek yang sedang berjalan.
“Ini penting untuk memastikan setiap program dilaksanakan dengan baik dan menyeluruh,” katanya, sambil menambah bahawa tahun ini 1,265 projek dan program mesti diselesaikan di Sabah.
“Semua agensi pelaksana mesti sentiasa memantau kemajuan projek-projek ini dan memastikan ia diselesaikan mengikut jadual,” katanya.
Menurutnya, Sabah adalah antara penerima tertinggi dalam bajet nasional, dengan RM6.7 bilion diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan tahun ini.
“Ini membuktikan bahawa suara rakyat dan pemimpin Sabah didengari di peringkat persekutuan. Ia juga menunjukkan bahawa kami sangat serius dan akan berusaha untuk meningkatkan pembangunan negeri,” katanya.
“Kita mesti melakukan perubahan paradigma untuk memastikan kejayaan semua rancangan kita.
Kita perlu menanggalkan proses yang usang dan mengubah sikap yang memberi tumpuan kepada negatif tanpa menilai atau mengiktiraf kejayaan atau sumbangan yang dibuat kepada negeri,” katanya.