DUN Sabah: LPPB Tawar Rumah PPR Kepada 237 Rumah Pangsa Tanjung Aru – Joachim

KOTA KINABALU : Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah menawarkan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) kepada 237 penyewa yang layak daripada 315 penyewa asal di Rumah Pangsa Tanjung Aru.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, ketika ini 58 penyewa asal Rumah Pangsa Tanjung Aru tidak ditawarkan rumah PPR kerana didapati tidak memenuhi kelayakan.

Katanya, ini disebabkan mereka tidak memenuhi syarat ditetapkan iaitu Dasar Peruntukan Rumah Kos Rendah disewakan, manakala 20 penyewa lagi sudah memiliki rumah di atas nama sendiri.  

“Kita juga mendapati seramai 113 penyewa daripada 237 yang ditawarkan rumah telah menerima tawaran dan diberikan rumah PPR iaitu 23 di tempatkan di kawasan PPR Taman Jaya Diri.

“Manakala seramai 30 di Taman Bukit Setia, 25 lagi di Taman Puri Warisan, lima penghuni di Taman Sri Anak, 23 di PPR Kibabaig

Penampang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru, Datuk Wong Hong Jun di sini hari ini.

Joachim merupakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, selain itu dua lagi di tempatkan di Gayang Tuaran Taman Keramat dan Putatan.

“Selain itu tiga lagi penghuni tersebut kini di tempatkan di kawasan PPR di Taman Serigai, Putatan.

“Seramai 124 penghuni telah menolak tawaran rumah PPR atas sebab lokasi rumah terlalu jauh daripada tempat kerja, sekolah anak atau hospital,” jelas Joachim.

Menurutnya, bagi mereka yang tidak layak diberi rumah PPR dan mereka menolak tawaran rumah PPR, mereka diminta untuk berusaha mencari rumah alternatif sendiri.  

 “Setakat 3 Julai ini, seramai 55 penghuni didapati belum berpindah keluar daripada rumah pangsa.

“Manakala 30 telah menerima rumah PPR serta 18 penghuni telah menolak tawaran rumah PPR dan tujuh didapati tidak layak ditawarkan rumah PPR,” kata Joachim.