KOTA KINABALU : Kenyataan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis mendakwa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjalin kerjasama Pakatan Harapan (PH) kerana ‘terpaksa’ ekoran skandal rasuah sebagai satu tuduhan liar, tidak berasas sekali gus berniat jahat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Norazlinah Arif menyifatkan dakwaan hanyalah usaha terdesak pihak pembangkang untuk meraih perhatian politik dengan menanam persepsi negatif dalam kalangan rakyat.
“Saya ingin menyanggah keras kenyataan Munirah yang mengaitkan kerjasama GRS dan PH dengan kononnya wujud kes rasuah.
“Tuduhan seperti ini tidak hanya tidak bertanggungjawab, malah satu penghinaan terhadap kematangan politik pimpinan GRS, khususnya Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Norazlinah berkata, keputusan untuk membentuk kerjasama strategik antara GRS dan PH bukan berlaku secara tergesa-gesa atau kerana tekanan politik.
“Sebaliknya ini berasaskan semangat setiakawan, kepercayaan dan kesedaran akan keperluan untuk mewujudkan kestabilan politik di Sabah.
“Kita tidak boleh menafikan peranan PH yang berdiri teguh menyokong kerajaan negeri ketika berlakunya cubaan rampasan kuasa dalam insiden ‘Langkah Kinabalu’,” jelas Norazlinah.
Menurutnya, tanpa bantuan dan kepercayaan mereka pada ketika itu, kerajaan GRS mungkin telah tumbang.
“Ini bukan soal ‘ada kes’ atau ‘terpaksa’, ini soal menghargai jasa dan mengekalkan kestabilan negeri.
“Isu mahkamah tidak wajar dijadikan bahan untuk menabur fitnah dan mencipta persepsi. Semua tertuduh berhak untuk mempertahankan diri dan kita wajar menghormati proses undang-undang,” katanya.
