LAHAD DATU : Dua pam bot ditahan selepas dipercayai menangkap ikan menggunakan bahan letupan, di kedudukan 0.49 batu nautika Timur Kampung Pengkalan, Kunak dan 0.20 batu nautika Selatan Pulau Timbun Mata di sini semalam.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dr. Suzanna Razali Chan berkata, ketika melakukan pemeriksaan salah seorang krew bot terbabit bertindak terjun ke laut sekali gus melarikan diri ke daratan berhampiran dalam kejadian jam 11.15 pagi.
Katanya, kesemua suspek lelaki merupakan warga tempatan berumur antara 33 hingga 41 tahun akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan melanggar syarat sah lesen.
“Mereka juga akan disiasat mengikut Seksyen 26 Akta yang sama kerana disyaki menangkap ikan dipercayai menggunakan bahan letupan, racun secara terlarang.
“Kesalahan lain suspek termasuklah didapati melakukan aktiviti menangkap ikan pada jarak kurang 0.49 batu nautika serta menangkap ikan menggunakan bahan letupan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Suzanna berkata, bot pam serta sebuah enjin, segulung hos kompressor serta satu botol bom ikan turut dirampas dengan membabitkan nilai rampasan melebihi RM5,000.
“Kesemua suspek yang ditahan ini kemudiannya diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.
“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut kepada Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu di talian 089-885727 atau MERS 999,” jelas Suzanna.