TAWAU: Mahkamah Tinggi Tawau hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap dua lelaki selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 4,091.7 gram, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Duncan Sikodol membuat keputusan itu selepas kedua-dua tertuduh, Fung Kim Loong, 42, dan Sirman Abdullah, 32, didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Hukuman itu diputuskan Duncan selepas pihak pendakwaan di akhir kesnya berjaya membuktikan satu kes prima facie dan mengarahkan kedua-dua tertuduh untuk membela diri.
“Setelah mendengar hujahan kedua-pihak, mahkamah mendapati hujahan serta rentetan cerita pihak pembelaan gagal mematahkan kes prima facie pihak pendakwaan dan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah.
“Mahkamah juga mendapati rentetan cerita pihak pembelaan hanya rekaan semata-mata bagi menafikan pengetahuan dan penglibatan kedua-dua tertuduh terhadap pengendalian dadah berkenaan.
“Justeru, mahkamah bersetuju dengan hujahan faktor pemberat hukuman oleh pihak pendakwaan untuk menjatuhkan hukuman gantung sampai mati walaupun Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 telah berkuat kuasa, tetapi itu tidak menghalang budi bicara Mahkamah untuk menjatuhkan hukuman mati,” katanya.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama-sama mengedar methamphetamine seberat 4,091.7 gram di sekitar Lorong 5C 1/1, Bandar Sri Indah Tawau, kira-kira jam 3.55 petang pada 14 Jun 2022.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau jika tidak dijatuhi hukuman mati, dihukum tidak kurang 15 sebatan.
Prosiding perbicaraan bermula pada 27 dan 28 Februari lalu, dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hurman Hussain bersama Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syahnidzam Ahmad manakala Kim Loong diwakili Peguam Datuk Ram Singh sementara Sirman diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinke.
Terdahulu Ram Sing dalam mitigasi memohon peringanan hukuman berkata kedua-dua tertuduh tidak saling mengenali dan mereka adalah pembawa tidak bersalah (innocent carrier) serta tiada niat jahat bersama untuk mengedar dadah selain kesalahan pertama disamping mempunyai keluarga untuk ditanggung.
Atas dasar itu katanya, pihak pembelaan memohon mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk menjatuhkan hukuman alternatif iaitu penjara seumur hidup (30 tahun) dan hukuman minimum 12 sebatan.
Bagaimanapun Hurman dalam hujahan untuk pemberatan hukuman menegaskan pihaknya memohon hukuman gantung sampai mati dikenakan ke atas kedua-dua tertuduh kerana fakta kes mewajarkannya.
“Pendakwaan juga mengambil kira faktor peningkatan pendaftaran kes-kes pengedaran dadah ketika ini selain jumlah berat dadah dalam kes ini yang melebihi empat kilogram serta faktor kepentingan awam,” hujahnya.
Untuk rekod, sabitan kes hari ini juga adalah kes kedua bulan ini Mahkamah Tinggi Tawau menjatuhi hukuman mati dengan selepas kes pertama membabitkan seorang mekanik dikenakan hukuman yang sama atas kesalahan mengedar hampir 200 kilogram, pada 8 Mac lalu.
Ia selepas pemansuhan hukuman mati mandatori 2023 yang berkuasa 4 Julai 2023.