KOTA KINABALU : Pelantikkan sebagai ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan tanggungjawab besar untuk memastikan PKR terus kukuh di negara ini.
Datuk Dr Sangkar Rasam berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR selepas memberi kepercayaan melantik MPP di peringkat Pusat.
Katanya, beliau komited memberikan kerjasama baik demi untuk memperkukuhkan Parti Keadilan Rakyat di seluruh negara.
“Saya berterima kasih kepada semua Ketua-ketua Cabang, Ketua-ketua Wanita, Ketua-ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Srikandi dan semua ahli PKR Negeri Sabah kerana memberikan kerjasama yang baik sepanjang beliau mengetuai PKR di negeri Sabah.
“Semoga kerjasama ini akan berterusan demi memperkukuhkan Parti Keadilan di Negeri di Bawah Bayu ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sangkar juga mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mustapha Sakmud atas pelantikannya sebagai pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah yang baharu.
“Kita harap dengan kepimpinan baharu ini MPN di Sabah dapat diperkasakan lebih-lebih dalam bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” jelas Sangkar.
