KOTA KINABALU : Seramai 232 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dipindahkan dari Pelabuhan Tawau untuk balik ke negara asal, di sini semalam.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, kesemua PATI terbabit merupakan tahanan di tiga Depot Imigresen iaitu Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar dan Sandakan yang dipindahkan menggunakan pengangkutan laut ke Pelabuhan Nunukan, Terminal Tunon Taka, Indonesia.
Katanya, pemindahan itu membabitkan seramai 123 lelaki dan 72 wanita manakala,JIM turut menghantar pulang 37 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.
“Ini adalah program pemindahan siri 8 untuk kategori Usir melalui laut bagi tahun 2024 ke negara asal masing-masing menggunakan pengangkutan Feri Purnama Express dan Francis Express.
“Semua PATI berusia lingkungan dua bulan hingga 69 tahun dan kanak-kanak yang terbabit untuk penghantaran pulang kali ini adalah bersama ibu atau bapa atau penjaga masing-masing,” katanya di sini semalam.
Sitti Saleha berkata, kesemua PATI ditahan di Depot Imigresen melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.
“Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.
“Jabatan Imigresen Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa,” jelas Sitti Saleha.
Menurutnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.
“Pemindahan PATI akan dilakukan selelas melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses undang-undang negara serta mendapat pengesahan daripada kedutaan negara masing-masing.
“Operasi Pemindahan ini adalah merupakan sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di seluruh Negeri Sabah,” tambahnyq.
