KOTA KINABALU : Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) perlu memanfaatkan sepenuhnya penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terutama dalam bidang dakwah dan pendidikan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, dakwah boleh disampaikan lebih efektif jika pendakwah serta pertubuhan Islam terus memanfaatkan penggunaan ICT.
Katanya, era teknologi masa kini, USIA perlu memanfaatkan sepenuhnya kemudahan khususnya dalam siri dakwahnya.
“Saya yakin teknologi serba canggih masa ini menyediakan banyak ruang untuk berdakwah secara bersepadu dan pemerolehan ilmu serta maklumat secara pantas.
“Kita perlu meneroka pelbagai disiplin ilmu seperti sains dan teknologi agar usaha dakwah yang dilakukan dapat dimantapkan dan menjadikan kita lebih proaktif dan inovatif,” katanya.
Teks ucapannya disampaikan Timbalan Ketua Menteri III merupakan Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya.
Hajiji berkata, kekuatan ahli di seluruh Sabah menzahirkan USIA merupakan sebuah badan bukan kerajaan atau NGO Islam tertua di Sabah.
“Kita berkeyakinan USIA di bawah kepimpinan sekarang serta penglibatan barisan pemimpin USIA termasuklah golongan professional dan kakitangan berdedikasi, mampu membawa lebih banyak kejayaan.
“Oleh itu,, pilihlah ketua dan barisan kepimpinan yang benar-benar layak menerajui USIA serta sudah terbukti mampu memikul amanah,” jelas Hajiji.
Menurutnya, beliau berharap agar USIA tidak diheret dalam kancah politik kerana ia bertentangan dengan asas penubuhan dan perjuangannya.
“Kita mesti kekalkan USIA sebagai sebuah NGO Islam yang bebas politik, demi kebaikan dan masa depan ummah keseluruhannya.
“Saya yakin ahli USIA semua adalah kalangan bijak pandai dan akan menolak sebarang cubaan oleh mana-mana pihak untuk mempolitikkan pertubuhan ini,” kata Hajiji.