KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Warisan (WARISAN) Terrence Siambun berkata, tindakan lompat parti itu merupakan satu pengkhianatan besar kepada mandat rakyat yang mengundi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atas tiket parti yang mereka diwakili.
Menurutnya, tindakan ADUN meninggalkan parti yang mereka wakili pada Pilihan Raya lalu dilihat memperlekehkan kepercayaan serta harapan pengundi kepada mereka.
“Kenyataan Naib Presiden II Gagasan Rakyat, Datuk Rubin Balang yang mendakwa kononnya WARISAN menghadapi krisis sokongan berikutan tindakan beberapa ADUN melompat parti adalah tidak benar.
“Lebih-lebih lagi apabila ADUN itu melompat kepada parti yang ditolak oleh pengundi dan penyokong kemudian ADUN tersebut seringkali menggunakan alasan demi kelangsungan hidup rakyat adalah sangat mengecewakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terrance berkata, ternyata tindakan ADUN itu adalah semata-mata hanya untuk mengejar jawatan serta wang ringgit demi kepentingan peribadi diri sendiri.
“Kerajaan yang berintegriti sepatutnya melaksanakan Akta Anti-Lompat Parti dengan segera dan bukannya mengharapkan lebih ramai ADUN dari parti lain untuk melompat ke Gagasan Rakyat.
“Dengan itu, kita ingin bertanya di mana sebenarnya keikhlasan Gagasan Rakyat untuk membawa Sabah selaras dengan lambang kebanggaanya Sabah Maju Jaya,” katanya.
Dalam tempoh sama Terrence berkat, sepatutnya rakyat tidak memberi sokongan kepada kumpulan yang terdiri daripada mereka yang telah memperlekehkan kepercayaan rakyat bukan sekali tetapi beberapa kali dengan melompat parti?
“Kita lihat Datuk Seri Hajiji Noor pernah mengetuai Bersatu di Sabah kemudian bertindak meninggalkan parti itu bersama beberapa pemimpin Bersatu Sabah lain, sebaik sahaja Perikatan Nasional (PN) gagal membentuk kerajaan pada Pilihan Raya November lalu.
“Kumpulan ini kemudiannya menubuhkan pula Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang mempunyai beberapa wakil rakyat sudah menang atas tiket Bersatu pada pilihan raya negeri lalh,”katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan, Mudi Dubing pula berkata, tindakan ADUN Bersatu Sabah untuk melompat keluar dari parti itu menimbulkan persoalan dan keraguan tentang keikhlasan mereka di kalangan UMNO Sabah.
Katanya ini menyebabkan UMNO menarik sokongan kepada Kerajaan Negeri ketika itu sekali gus menyebabkan pergolakan kuasa disebabkan oleh tindakan mereka sendiri untuk melompat parti.
“Adalah tidak benar untuk menuding jari kepada Warisan kononnya ada percubaan untuk mengguling kerajaan.
“Di manakah keikhlasan kumpulan ini setelah meninggalkan PN tetapi di peringkat negeri, bekerjasama pula dengan SAPP dan PAS iaitu dua komponen parti Perikatan Nasional.
“Sekiranya berlaku perubahan kerajaan di peringkat persekutuan, adakah Gagasan Rakyat akan kekal memberi sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim?” katanya.