KOTA KINABALU: Sejumlah 544,893 rakyat Sabah telah menerima suntikan vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi Kebangsaan peringkat negeri setakat hari ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.
Beliau yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 berkata seramai 376,202 individu menerima suntikan dos pertama manakala 168,691 orang pula telah melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin melalui pelaksanaan program itu di seluruh Sabah.
Masidi dalam kenyataan hari ini berkata seramai 873,818 individu telah mendaftar untuk menerima vaksin di Sabah dengan 5,243 daripadanya adalah pendaftaran baharu yang direkodkan hari ini.
Tiada kes kematian dan kluster baharu dilaporkan di Sabah hari ini, katanya.
– BERNAMA