Cadangan tangguh yuran pengajian beri manfaat kepada pelajar luar bandar – Riduan

KOTA KINABALU : Armada BERSATU Tenom menerima runggutan kalangan Ketua Isi Rumah (KIR) berkaitan bebanan kewangan bagi menghantar anak mereka meneruskan pengajian mereka ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini.

Ketuanya, Riduan Rubin mencadangkan agar pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberi pertimbangan supaya meneliti semula cadangan penangguhan bayaran kemasukan atau yuran pendaftaran bagi sesi baharu yang akan bermula bulan depan.

“Kita mohon agar cadangan ini dapat dipertimbangkan, sekali gus sebagai tambahan kepada usaha KPT memberikan potongan 20 peratus yuran pengajian bagi semester 2021 – 2022 memanfaatkan sekitar 500,000 orang pelajar di seluruh negara.

“Jika ini dapat dilaksanakan sudah tentu dapat memberi khabar gembira kepada ibubapa yang terbeban akibat hilang sumber pendapatan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutma dalam penularan COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Riduan memberi contoh kawasan pedalaman Tenom sebahagian besar KIR masih bergantung sepenuhnya kepada sumber ekonomi utama berasaskan pertanian.

“Umpama ‘ibarat sudah jatuh ditimpa tangga’….pendapatan KIR di daerah ini bukan sahaja terjejas akibat Pandemik COVID-19 malah musibah banjir besar berlaku baru-baru ini memusnahkan hasil pertanian serta ternakan yang selama ini menjadi tunjang pendapatan ekonomi keluarga mereka,” katanya.

Armada Tenom juga memahami situasi dihadapi kerajaan hari ini yang sedang berjuang mendepani krisis kesihatan serta ekonomi disebabkan pandemik COVID-19.

“Namun keperluan anak muda serta pelajar perlu diambil kira yang dilihat merupakan aset paling bernilai kepada negara khususnya dalam menyediakan pelan pembangunan modal insan yang akan meneruskan legasi kemajuan negara ini,” katanya.