LABUAN: Keunikan Labuan sebagai pusat tarikan pengunjung luar kini terserlah semula apabila Bulatan Merdeka yang telah siap sepenuhnya dinaik taraf menjadi mercu tanda baharu Wilayah Persekutuan Labuan.
Ia bukan hanya sekadar mercu tanda baharu Labuan yang berkonsepkan Maritim dengan ciri ciri ‘Kontemporari Moden’ tetapi juga menjadi ikon Labuan sebagai sebuah bandar pintar (smart city) yang mampu menjadi satu lagi tarikan pelancong luar untuk datang ke Labuan.
Bulatan Merdeka yang dilengkapi dengan empat batang berbetuk seperti coral serta dilimpahi dengan pelbagai lampu nion berwarna warni dan pancatuan air yang mengelilingi Bulatan Merdeka digambarkan sebagai keunikan dan keindahan hidupan dasar laut sesuai dengan identiti Labuan sebagai bandar maritim.
Manakala, di tengah bulatan itu terdapat struktur ‘glob’ melambangkan kedudukan Labuan sebagai sebuah pulau yang dikenali sebagai ‘Pearl Of Borneo’.
Sementara itu, majlis pelancaran pembukaan wajah baharu Bulatan Merdeka Labuan kepada orang awam telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail, pada malam kelmarin.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidek serta beberapa pegarah bahagian Perbadanan Labuan serta pengamal media tempatan.
Rithuan ketika ditemui media berkata, kerja-kerja menaik taraf Bulatan Merdeka Labuan adalah sebahagian daripada usaha pihak Perbadanan Labuan untuk memperindahkan Labuan sebagai sebuah pulau pelancongan yang menarik.
Untuk rekod, Bulatan Merdeka yang dibina sekitar tahun 1970 an kali terakhir dinaki taraf pada tahun 1990-an yang berkonsepkan alam fana dan flora.