TENOM: Seorang lelaki berusia 50 tahun dan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun hilang selepas bot dinaiki mereka karam dalam kejadian di Kampung Kalandos Pangi, di sini, petang tadi.
Berita Harian melaporkan dalam kejadian jam 4 petang itu, kedua-dua mangsa yang hilang dikatakan menaiki bot berkenaan bersama dua lagi mangsa terselamat di Sungai Padas, di sini, selepas membeli barangan keperluan di pekan Tenom.
Bagaimanapun, sebaik cuba menyeberangi sungai itu, bot dikatakan tiba-tiba terbalik disebabkan arus deras.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.13 petang.
Katanya, sepasukan tiga anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari mangsa terbabit.
“Ketika kejadian, bot yang menghampiri tebing sungai itu tiba-tiba terbalik kerana arus sungai yang deras. Dua mangsa iaitu lelaki warga emas dan seorang wanita berjaya menyelamatkan diri.
“Bagaimanapun, dua lagi mangsa hanyut sebelum hilang dibawa arus deras,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Katanya, pasukan bomba terpaksa menggunakan pengangkutan kereta api untuk tiba ke lokasi kejadian.
“Maklumat lanjut berhubung kejadian ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
Difahamkan, kawasan kejadian hanya boleh diakses menggunakan kereta api saja yang mengambil masa perjalanan hampir sejam.