KUNAK: UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah tidak gentar dan sedia menentang seperti ‘ayam jantan’ sekiranya semua parti ingin bergerak solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya bersedia memberikan tentangan sengit sekiranya semua parti di Sabah menyatakan hasrat untuk bergerak solo.
Katanya, beberapa kenyataan parti tempatan dan pemimpin tertentu di negeri ini memberikan bayangan mereka akan bergerak secara solo dan bertanding semua 73 kerusi PRN Sabah Ke-17.
“Kebelakangan ini saya nampak banyak kecenderungan parti-parti tertentu mengumumkan bahawa mereka akan bertanding secara bersendirian.
“Saya cadangkan supaya parti berkenaan jangan tarik balik, biar kita berlawan seperti ‘ayam jantan’ di gelanggang dan tidak perlu runding-runding lagi,” katanya.
Bung Moktar berkata, BN/UMNO Sabah lebih suka sekiranya banyak parti mahu bertanding secara solo dan ia bukannya satu masalah berikutan mereka sudah bersiap sedia lebih awal.
“UMNO/BN adalah sebuah organisasi lengkap dan jentera kita sudah bersedia, malah telah lalui beberapa siri pilihanraya termasuk soal penipuan.
“Semua yang kita lalui menjadi pengalaman serta pengajaran supaya lebih bersedia dan fokus untuk mencapai kejayaan,” jelas Bung Moktar.
Sementara itu, UMNO Sabah komited akan meletakkan seorang calon di kawasan DUN Kunak berikutan kerusi itu dilihat berpotensi besar untuk dirampas oleh UMNO.
Katanya, senarai calon sudah ada dan antara nama tersebut ialah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lahad Datu, Datuk Seri Dr Anil Sandhu.
“Kunak saya nampak, insyaAllah kita akan letak calon. Calon banyak, cuma kita kena pilihlah mana satu. Dia (Datuk Sri Anil) salah satu yang tersenarai,” katanya.