Berstatus suami orang antara dua pasangan dicekup ‘Ops Cegah Maksiat’ di Kunak

KUNAK : Dua pasangan disyaki berkhalwat dicekup dalam Ops Cegah Maksiat dijalankan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Kunak di sekitar dua hotel berasingan di sini malam tadi.

Menurut kenyataan dilaman Facebook rasmi JHEAINS, operasi bermula 10.00 hingga 12.00 malam itu mendapati kebanyakan lokasi berada dalam keadaan terkawal.

“Namun, dua pasangan gagal meloloskan diri apabila bilik mereka diserbu oleh pihak penguat kuasa.

“Lebih mengejutkan, salah seorang daripada ditahan dipercayai memiliki status berkahwin berada bersama seorang wanita yang bukan mahramnya,” katanya.

Beliau berkata, pihak JHEAINS menggesa agar keluarga dan masyarakat lebih cakna terhadap isu ini sekali gus tampil menyalurkan maklumat demi membendung gejala sosial di daerah Kunak.

“JHEAINS Kunak akan meningkatkan operasi seumpama ini secara lebih agresif pada masa depan.

“Ini bagi memastikan daerah Kunak kekal selamat, sejahtera dan terpelihara daripada gejala maksiat,” jelasnya.