KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Bersatu Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan menolak dakwaan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, bahawa parti itu bersembunyi di sebalik nama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana bimbang tumbang.
Katanya, Bersatu Sabah bergerak seiring rakan parti komponen lain dalam GRS demi kelangsungan pembangunan negeri itu.
“Tak baik fitnah kami (Bersatu) begitu, tuduh kami bersembunyi dalam GRS kerana kami lemah, sedih juga kami dengar tohmahan sebegitu.
“Kami antara komponen dalam gabungan tersebut (GRS), dan kita semua dalam GRS bergerak seiring sebagai sebuah gabungan yang membentuk kerajaan yang mentadbir Sabah.
“Tak wajar kalau ada pihak yang suka-suka hati menuduh Bersatu sebegitu, apatah lagi jika pihak itu bukan dari kalangan pemimpin tempatan Sabah yang arif tentang corak politik di Sabah.”
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini.
Firdaus berkata, kerjasama kerajaan GRS-Barisan Nasional (BN) tidak pernah tergugat dan semua barisan kepimpinan saling bekerjasama dalam melaksanakan misi dan fokus pembangunan untuk rakyat Sabah.
“Bersatu tidak pernah merasakan kedudukannya sebagai sebuah parti yang memperjuangkan keutuhan masyarakat pribumi, lemah dan bakal tumbang, sepertimana yang dinyatakan sesetengah pihak,” katanya.
Khairul Firdaus turut meminta pihak yang tidak arif dan tidak tahu norma politik Sabah tidak sewenang-wenangnya mengulas atau menghina corak politik di negeri itu.
“Kita di Sabah, dengan kerajaan GRS adalah cetusan idea yang pertama kali dalam sejarah politik Sabah, dan jalinan kerjasama ini juga adalah cetusan daripada Datuk Seri Hajiji Noor sebagai ketua Bersatu kita di Sabah dan juga Datuk Seri Bung Moktar Radin selaku ketua BN di Sabah.
“Tidak lain tidak bukan, tujuan utamanya adalah kerana kedua-dua pemimpin ini adalah pemimpin Sabah yang faham akan norma politik di Sabah dan inginkan yang terbaik untuk kelangsungan kemajuan negeri Sabah, seiring fokus Sabah Maju Jaya.
“Saya harap tiada yang berhasrat atau berniat menjadi batu api, mencurah minyak dan mencetus bahang api persengketaan,” katanya.
