KOTA KINABALU: Cadangan penubuhan Jawatankuasa Dwi-Partisan Pilihan Khas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi menangani Pendatang Tanpa Izin (PTI) akan dibawa untuk pertimbangan dan tindakan Kabinet negeri, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau mengalu-alukan cadangan yang disuarakan Parti Bersatu Sabah (PBS) itu sebagai susulan gerak kerja Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Kabinet negeri Mengenai Pekerja dan Warga Asing Tanpa Dokumen.
Beliau berkata PTI adalah isu diwarisi sekian lama di negeri itu, justeru satu penyelesaian tuntas perlu dilaksanakan demi kepentingan jangka panjang negeri terutama rakyat di negeri ini.
“Saya akan bawa perkara ini untuk pertimbangan Kabinet negeri. Namun prasyaratnya semua pihak perlu jujur dan ikhlas untuk mencari solusi segera kepada isu legasi ini dan bertindak demi kepentingan jangka panjang.
“Pada masa sama, kita perlu bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan untuk menangani isu-isu mendesak semasa yang melibatkan bebanan sara hidup rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan PBS ke-36 dan 37 di sini hari ini.
Terdahulu, Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dalam ucapannya menyuarakan cadangan kepada kerajaan Sabah untuk menubuhkan jawatankuasa itu bagi menyelesaikan masalah PTI yang sentiasa muncul sejak sekian lama di negeri itu.
Sementara itu, Hajiji berkata Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah penting sebagai sebuah jajaran politik yang menjadi formula tempatan dalam mewujudkan permuafakatan rakyat Sabah bagi mendepani landskap baharu politik negara.
“Akar umbi mahukan kita bersatu dalam sebuah wadah tempatan untuk memperkukuh perjuangan membela hak-hak dan kepentingan anak watan di persada politik lokal dan nasional,” katanya.
GRS dianggotai Bersatu Sabah, PBS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) yang menjalin kerjasama bersama Barisan Nasional (BN) bagi mentadbir negeri itu.
– BERNAMA