KOTA KINABALU: Penyiaran berita ‘Lebih Separuh Majlis Tertinggi PBS Mahu Kerjasama Dengan Warisan” disiarkan blog inisabah.com adalah tidak benar serta palsu.
Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joniston Bangkuai berkata, walaupun ada beberapa Ahli Majlis Tertinggi (AMT) yang membangkitkan perkara itu pada Mesyuarat AMT PBS minggu lalu, namun tiada sesi undian diadakan untuk menentukan keputusan parti.
Katanya, prinsip pengurusan serta keputusan di peringkat majlis tertinggi PBS adalah melalui resolusi sebulat suara, bukan proses undian.
“Malahan, kepimpinan PBS menegaskan untuk kekal dengan pendirian bersama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai gabungan kerjasama pemimpin dan rakyat tulin tempatan Sabah,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook PBS.