Belia Merupakan Pemangkin Perubahan, Pemacu Kemajuan – Hajiji

KOTA KINABALU : Golongan belia merupakan pembawa obor perubahan masa kini berpotensi menjadi pemimpin negara pada masa depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, penglibatan belia secara aktif dalam kerja kebajikan mencerminkan kematangan dan keprihatinan terhadap masyarakat.

Katanya, secara tidak langsung membuktikan kesediaan mereka untuk menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin masa hadapan.

“Mereka bukan sekadar pemimpin hari esok, tetapi penyumbang penting kepada kemajuan hari ini.

“Tenaga, kreativiti dan idealisme mereka harus digilap dan dimanfaatkan sebagai usaha ke arah melahirkan pemimpin yang berwibawa suatu masa nanti,” katanya.

Teks ucapannya dibacakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.

Hajiji berkata, kerajaan akan merangka Enakmen Pembangunan Belia Sabah sebagai platform perundangan untuk memperkukuh struktur organisasi belia.

“Ini sekali gus mengiktiraf mereka secara rasmi dan menyediakan ruang yang lebih sistematik untuk pembangunan jangka panjang.

“Melalui enakmen ini, kita mahu setiap pemimpin belia Sabah diberikan masa, ruang dan sokongan untuk memimpin dengan yakin serta menyumbang secara bermakna kepada negeri,” jelas Hajiji.

Beliau memuji pendekatan Persatuan Kebajikan San Chuan Sabah berjaya menarik penyertaan lebih 90 peratus golongan belia sebagai ahli aktif dan model penglibatan ini harus dicontohi dan digalakkan.

“Kehadiran belia dalam kegiatan sukarela dan kebajikan menunjukkan mereka peduli, bertanggungjawab dan mampu menyatukan pelbagai komuniti untuk tujuan bersama.

“Kita menyambut baik inisiatif ahli persatuan ini kini dalam usaha mengumpul dana untuk memiliki bangunan sendiri, satu langkah strategik ke arah operasi yang lebih tersusun dan lestari,” katanya.

Hajiji yakin dengan sokongan masyarakat serta para dermawan, impian ini akan menjadi kenyataan dan membuka lebih banyak ruang kepada aktiviti kebajikan di
masa depan.