KOTA KINABALU : Kerajaan negeri menubuhkan sebuah jawatankuasa pemantauan khusus bagi mempertingkat prestasi Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) dan Badan Berkanun Negeri.
Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Julita Majungki berkata, langkah ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan ketelusan, akauntabiliti serta kesan ekonomi mampan melalui entiti korporat miliknya.
Katanya, kerajaan negeri mempunyai kepentingan dalam 27 syarikat induk serta 22 badan berkanun dalam sektor perladangan, tenaga, pelaburan dan pembangunan hartanah.
“Ekosistem korporat ini disokong 250 anak syarikat dan syarikat bersekutu, menjadikan landskap korporat luas serta kompleks di negeri ini.
“Kerajaan akan memastikan pelantikan ahli lembaga pengarah yang berkelayakan disamping membuat penilaian semula terhadap model perniagaan serta penambahbaikan mekanisme pemantauan dan pelaporan kewangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Julita berkata, semua perjanjian usaha sama melibatkan GLC atau badan berkanun perlu dirujuk kepada Pejabat Peguam Besar Negeri, Kementerian Kewangan serta sebelum dibawa ke Kabinet untuk kelulusan.
“Langkah ini bertujuan melindungi kepentingan awam diaamping memastikan ketelusan yang lebih tinggi dalam usaha niaga berkaitan Kerajaan Negeri.
“Satu Jawatankuasa Pemantauan GLC ditubuhkan serta dipengerusikan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan serta Penasihat Kewangan kepada Ketua Menteri,” jelas Julita.
Menurutnya, Jawatankuasa ini ditugaskan mengenal pasti kelemahan dalam tadbir urus dan mencadangkan tindakan pembetulan terhadap GLC yang tidak menunjukkan prestasi memuaskan.
“Beberapa Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) didapati tidak aktif atau tidak beroperasi kini sedang menjalani proses penstrukturan semula atau pembubaran secara formal.
“Ini sebahagian daripada usaha mengurangkan beban kewangan dan meningkatkan kecekapan korporat secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga sedang meneliti semula struktur GLC utama dan anak-anak syarikatnya bertujuan mengoptimumkan pemilikannya.
“Pasukan pengurusan baharu dilantik membabitkan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) serta Qhazanah Sabah Berhad bagi memacu pelan pemulihan serta memperkukuh akauntabiliti.
“Penilaian terhadap prestasi GLC di Sabah harus dibuat secara lebih seimbang. Adalah tidak adil untuk menganggap semua GLC sebagai tidak berprestasi.
“Setakat ini, GLC menunjukkan pencapaian membanggakan, membayar dividen sekali gus memberikan sumbangan besar kepada Kerajaan Negeri,” tambahnya.