Belanjawan 2024 Negeri Sabah: RM5.7 bilion dicadang untuk Anggaran Perbekalan Tahun 2024

KOTA KINABALU: Dalam mengekalkan kemampanan kedudukan kewangan negeri untuk terus kekal kukuh dan stabil, Kerajaan Negeri telah merangka strategi menerusi penganalisaan petunjuk-petunjuk dan ramalan ekonomi secara menyeluruh sebagai langkah persediaan menghadapi kelembapan ekonomi pada tahun 2024.

Menteri Kewangan Negeri Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata maka, Belanjawan 2024 disediakan dengan berpandukan unjuran hasil agar dapat mengekalkan Belanjawan Lebihan dan seterusnya dapat meningkatkan rizab negeri.

Katanya bagi maksud melancarkan pengurusan dan pentadbiran Kerajaan Negeri, sebanyak RM5.701 bilion dicadangkan untuk Anggaran Perbekalan Tahun 2024.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM4.751 bilion diperuntukkan untuk membiayai Perbelanjaan Mengurus dan RM950 juta untuk Pencaruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan, katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Negeri Sabah di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Masidi berkata peruntukan bagi Anggaran Perbekalan meningkat sebanyak RM563.37 juta atau 10.96 peratus pada tahun 2024 berbanding anggaran asal tahun 2023 iaitu sebanyak RM5.138 bilion yang bertujuan untuk menampung Perbelanjaan Emolumen, Perbelanjaan Berulang dan Perbelanjaan Khas.

Katanya sebanyak RM808.06 juta dicadangkan untuk Perbelanjaan Emolumen bagi membiayai gaji Penjawat Awam Negeri. Jumlah ini mencatatkan kenaikan sebanyak RM15.78 juta atau dua peratus berbanding peruntukan tahun lalu disebabkan kenaikan gaji tahunan.

“Manakala, Perbelanjaan Berulang dicadangkan sebanyak RM2.203 bilion ataupun 38.64 peratus iaitu kenaikan sebanyak RM176.32 juta atau 8.7 peratus berbanding peruntukan asal tahun 2023.

“Peningkatan tersebut antara lain bagi menampung pembiayaan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah; Bantuan Sosial Kepada Sekolah Berasrama dan Rumah Anak Yatim; Suruhanjaya Tenaga Sabah; Infrastruktur asas terutamanya memulihkan bekalan air; penyenggaraan cerun serta bangunanbangunan kerajaan; penubuhan Jabatan Audit Dalam dan Unit Perubahan Iklim/Gas Rumah Kaca Negeri Sabah,” katanya.

Masidi berkata agihan Perbelanjaan Khas dicadangkan sebanyak RM1.74 bilion atau 30.52 peratus, mencatatkan kenaikan sebanyak RM161.26 juta atau 10.62 peratus lebih tinggi daripada peruntukan asal tahun 2023.

Katanya kenaikan ini menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri menangani isu keterjaminan makanan melalui penubuhan semula Lembaga Padi dan Beras Negeri Sabah, isu-isu infrastruktur serta kemudahan awam.

“Perbelanjaan Pembangunan sangat penting bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi negeri. Justeru itu, saya mencadangkan sebanyak RM1.328 bilion diperuntukkan pada tahun 2024 untuk Perbelanjaan Pembangunan,” katanya.

Beliau berkata jumlah ini merangkumi sebanyak RM847.23 juta melalui peruntukan negeri dan RM480.46 juta melalui Pinjaman Persekutuan dan Bayaran Balik Persekutuan (Federal Reimburseables).

Agihan peruntukan pembangunan mengikut sektor adalah seperti berikut:

Sektor Ekonomi : RM555.60 juta atau 65.58 peratus

Sektor Sosial : RM272.99 juta atau 32.22 peratus

Sektor Pentadbiran Am : RM18.64 juta atau 2.2 peratus.