Bekalan air ke Kampung Tanjung Aru sudah dipulihkan – Bung

KOTA KINABALU: Isu gangguan bekalan air bersih di kawasan Tanjung Aru dan sekitarnya telahpun diselesaikan dan pulih seperti sedia kala.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ganguan berlaku disebabkan kejadian paip pecah di Kampung Tanjung Aru dan pihak Jabatan Air telahpun memperbaiki paip tersebut sebagaimana gambar yang disertakan.

Bekalan air ke Kampung Tanjung Aru dipulihkn.

Beliau turut mengakui memang berlaku tekanan air rendah sejak berlakunya bencana tanah runtuh di Kampung Kopungit pada awal September lepas yang turut menjejaskan tangki simpanan air 5Mld yang hanya dapat menurunkan bekalan air separuh daripada kapasitinya ke kawasan Tanjung Aru.

“Bencana alam sukar kita ramalkan dan ini termasuklah kawasan tangki air Kopungit yang terlibat dalam kejadian runtuhan tersebut. Bagaiamanpun, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menjalankan pembaikan cerun terlibat yang kini dalam perlaksanaan,” katanya.

Bung mengulas kenyataan media Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru, Junz Wong yang mendakwa Jabatan Air tidak melakukan sesuatu untuk mengatasi masalah cerun runtuh yang melibatkan tangki simpanan air di Kopungit dan juga masalah gangguan air di Kampung Tanjung Aru.

Bung berkata, ada beberapa faktor yang turut menjejaskan bekalan air bukan sahaja di kawasan Tanjung Aru malah di kawasan kawasan lain di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang dan ini termasuklah banjir di Sungai Moyog baru-baru ini, yang turut menjejaskan kerja-kerja merawat air di loji rawatan air Kasigui dimana ianya merupakan sumber air bagi kawasan terlibat.

“Untuk menangani masalah ini, agar bekalan air tidak begitu membebankan pengguna khususnya di kawasan Kota Kinabalu dan sekitarnya, kita terpaksa membuat catuan air memandangkan bekalan air bersih tidak mencukupi berbanding pengguna yang semakin meningkat,” katanya.

Bung yang juga ADUN Lamag juga memberitahu, Kerajaan mempunyai rancangan jangka pandek dan jangka panjang untuk menangani krisis air di negeri ini.

“Sudah tentu jika kita membuat perancangan yang teliti mengenai bekalan air di negeri ini, perkara yang berlaku pada hari ini mungkin dapat kita elakkan,” katanya.

Mengulas dakawaan Junz semasa kerajaan Warisan memerintah dahulu tidak pernah berlaku kejadian seumpama ini, Bung berkata, Junz ternyata berbohong kerana masalah air di Sabah bukan baharu malah ianya  sudah berlarutan dan semasa Warisan menjadi kerajaan pun mereka tidak pernah berbuat sesuatu untuk menambah baik bekalan air bersih di Sabah.

“Semasa kerajaan Warisan memerintah pun kejadian gangguan bekalan air besih berlaku, namun kita tidak nampak apa yang mereka lakukan,” jelas Bung.

Menurut Bung, selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap bekalan air di Sabah, kementerian beliau sedang membuat kajian untuk memperbaiki dan menyelesaikan isu bekalan air di Sabah.

“Kita sedang menunggu laporan lengkap  daripada perunding dilantik bagi menilai, memperincikan langkah holistik yang seharusnya dilakukan untuk menangani masalah bekalan air yang sering membelenggu penduduk dan tindakan secara berperingkat akan kita laksanakan,” katanya.