KUNAK: Tiga beranak warga Filipina lemas selepas bot yang dinaiki terbalik akibat dipukul angin kencang dan ombak besar ketika dalam perjalanan membeli barang keperluan dari Kampung Bangkuruan, di Lahad Datu ke Pekan Kunak, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kunak Supt Sabarudin Rahmat berkata mayat Saujal Mangguna, 31, ditemukan nelayan tempatan di Pulau Tagabua, dekat sini pada 10.30 pagi tadi selepas mayat dua anaknya – Mohd Haizal, 5, serta Suriani, 3, ditemukan semalam, manakala isterinya Kalsum Alam, 35, terselamat dalam kejadian itu.
Beliau berkata pihaknya menerima laporan daripada orang ramai mengenai insiden tersebut pada 4.44 petang semalam.
Saujal yang bekerja sebagai nelayan di sini, tinggal bersama keluarganya di Kampung Batu 20 Jalan Silam-Lahad Datu. Empat beranak itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sabarudin menasihatkan orang awam supaya memakai jaket keselamatan serta berhati-hati semasa menjalankan aktiviti di laut terutama dalam keadaan cuaca ribut dan laut bergelora.
– BERNAMA