TAWAU: Polis sedang memburu tiga banduan warga asing yang melarikan diri dari Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Dewan Arena, tengah malam tadi.
Menurut Utusan Malaysia, dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah malam itu, banduan yang disahkan positif Covid-19 berkenaan didapati mengumpil jeriji besi di bahagian tandas PKRC tersebut dan kemudian melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, pihaknya sedang giat memburu ketiga-tiga banduan dengan melancarkan Op Tutup dan Op Kesan.
Ketiga-tiga suspek dikenali sebagai Jimnajir Annor, 23; Niko Matheus, 25; dan Hasyim Muhamamad Syata, 34; ditempatkan di PKRC tersebut bagi tujuan kuarantin dan pengasingan selepas disahkan positif Covid-19 bersama banduan dan tahanan lain.
“Selain mengadakan sekatan jalan raya (SJR) di beberapa kawasan, kami turut menubuhkan pasukan pengesan yang disertai anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Unit Kereta Peronda (MPV).
“Malah, kawalan dan pemeriksaan turut dilakukan di sempadan daerah termasuk Pusat Kuarantin Kastam dan Imigresen (CIQ),” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Menurut Peter, pihaknya sudah mengedarkan gambar ketiga-tiga suspek kepada orang ramai dan beliau percaya kesemua suspek masih berada di daerah berkenaan.
Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan suspek untuk segera menghubungi balai polis berhampiran.
Orang ramai juga diingatkan untuk berwaspada kerana ketiga-tiga suspek disahkan positif Covid-19.
Tiga bantuan itu antara 16 banduan dan tahanan yang ditempatkan di PKRC berkenaan selepas disahkan positif Covid-19 bagi tujuan pengasingan dan rawatan.