Bahasa ibunda etnik pupus jika tidak diberi perhatian – Hajiji

PENAMPANG: Persatuan etnik di Sabah digesa supaya mengambil langkah yang berkesan bagi mempertahankan bahasa ibunda masing-masing supaya terus dituturkan, terutama oleh generasi muda.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata beliau bimbang kemungkinan bahasa ibunda sesuatu etnik akan pupus jika tidak diberi perhatian berikutan penyusutan penuturnya.

Berikutan itu, katanya persatuan etnik perlu berusaha memastikan generasi baharu etnik masing-masing dapat memahami, bertutur dan mewarisi bahasa ibunda mereka.

“Saya mahu persatuan etnik berusaha memastikan anak-anak kita, terutama generasi muda boleh bertutur menggunakan bahasa ibunda masing-masing.

“Kita bimbang jika soal bahasa ibunda ini tidak diberi perhatian serius, ia akan pupus begitu sahaja. Jika bahasa dan warisan budaya kaum tidak dipertahankan, maka akan hilang identiti kaum berkenaan.

“Justeru, generasi muda harus bersama-sama mengambil tahu mengenai bahasa dan kebudayaan kaum sendiri,” katanya dalam ucapan sempena Anugerah Lagu SABAHvfm 2023 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, di sini, malam tadi.

Teks ucapannya dibacakan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai.

Hajiji berkata, persatuan etnik yang berbilang latar belakang di Sabah perlu berusaha memperkasakan bahasa, budaya dan adat etnik masing-masing agar tidak pupus akibat perkembangan pesat globalisasi.

Katanya, ia penting agar warisan budaya lebih 35 etnik dan 217 sub etnik di Sabah yang menggunakan lebih 50 bahasa dan kira-kira 90 dialek, akan terus diperkasa dan tidak terpinggir dalam kemodenan masa kini.

Jelasnya, pelaksanaan pelbagai program untuk memartabatkan khazanah budaya pelbagai kaum dan etnik di negeri ini juga perlu terus diperkasakan.

“Keunikan Sabah bukan hanya pada sumber alam semula jadi sahaja tetapi juga budaya rakyat termasuk bahasa. Rakyat pelbagai kaum di negeri ini perlu sentiasa berasa bangga mempamerkan keunikan bahasa dan budaya masing-masing supaya dikenali oleh generasi muda dan orang luar,” katanya.

Sehubungan itu, katanya penganjuran majlis Anugerah Lagu SABAHvfm yang menerima sambutan baik daripada masyarakat, khususnya pengkarya seni muzik tempatan dapat membantu usaha memartabatkan bahasa etnik Sabah dengan lebih berkesan menerusi sinergi Kerajaan Negeri dengan agensi Persekutuan seperti RTM.