JKR dicadang bina lampu isyarat di Bulatan Helang, Bulatan Buaya di Jalan Lintas Labuk Sandakan – Suhaimi

SANDAKAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dicadangkan untuk membina lampu isyarat untuk menggantikan dua bulatan di Batu 7 Jalan Lintas Labuk bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas.

Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Nasir berkata banyak aduan dan rungutan pengguna kenderaan diterima olehnya berhubung masalah kesesakan yang sering berlaku di dua bulatan berkenaan.

“Berdasarkan aduan dan rungutan pengguna lalu lintas, sudah tiba masanya JKR mengantikan dua bulatan itu kepada penggunaan sistem lampu isyarat pintar untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Suhaimi menjelaskan sistem lampu isyarat pintar melibatkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk mengurus dan mengawal lalu lintas.

“Sebagai contoh, apabila terdapat kesesakan lalu lintas, sistem berkenaan akan memberikan masa yang lebih lama kepada lalu lintas,” katanya.

Beliau berharap pembinaan lampu isyarat itu akan dapat melancarkan aliran trafik di dua kawasan berkenaan terutamanya pada waktu puncak.

Suhaimi yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah berkata cadangan ini akan dibawa ke Mesyuarat Dewan Undangan Negeri yang bersidang pada minggu hadapan.