Awang Buntar Awang Salleh bersama 300 ahli keluar KDM semula Warisan

PAPAR: Bekas Naib Ketua Bahagian Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Awang Buntar Awang Salleh bersama 300 ahlinya menyertai semula Parti Warisan Malaysia.

Ketua Bahagian Warisan Papar, George Jonik berkata, Awang Buntar merupakan pengasas awal penubuhan KDM Papar sekali gus merangkap Ketua Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Manis.

Antara mereka yang hadir serta menyertai semula Warisan Malaysia.

Katanya, kemasukkan semula mereka ke Warisan Malaysia di lihat mampu memperkukuhkan lagi kekuatan parti menjelang Pilihan Raya Umum (PRU15).

“Ini merupakan satu petanda baik kepada kita di Warisan di bahagian Papar ini. Kita yakin Warisan adalah satu parti yang mampu untuk memperjuangan nasib seluruh rakyat di negeri ini.

Antara mereka yang hadir dalam program malam tadi.

“Kita menjangkakan akan lebih ramai lagi mereka akan menyertai semula ke parti Warisan ini dalam tempoh terdekat.

“Sehingga ke hari ini, kita ada menerima borang kemasukan ahli semula beberapa parti secara senyap untuk mendaftar sebagai ahli Warisan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis kesyukuran Warisan Bahagian Papar anjuran Ahli Jawatankuasa Jentera Dun Pantai Manis di sini hari ini.

George berkata, dalam tempoh sama penyertaan semula mereka ini membuktikan keyakinan mereka kepada pimpinan baharu Warisan khususnya di Bahagian Papar termasuk kemampuan pucuk pimpinan tertinggi Datuk Seri Mohd Shafie Afdal.

Sementara itu, Timbalan Ketua Bahagian Warisan Papar, Datuk Aidi Moktar, berkata penyertaan mereka ini adalah petanda baik dalam menyusun semula gerak kerja parti khususnya di bahagian Papar.

Ini termasuk memperkukuhkan semula kekuatan parti terutama di DUN Pantai Manis selepas tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN16) lalu.

“Apabila mereka menyertai semula Warisan Bahagian Papar kita boleh merancang kekuatan terutama di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Benoni Papar.

“Ini secara tidak langsung yakin untuk memastikan kerusi DUN Pantai Manis dapat ditawan semula pada PRU akan datang,” katanya.

Aidi berkata, penyertaan semula ke Warisan Malaysia atas kerelaannya sendiri sekali gus menjayakan agenda perjuangan parti untuk membina rakyat serta hak bangsa Sabah di negeri ini.