Atasi masalah birokrasi dalam penyambungan bekalan elektrik di Batu Sapi

SANDAKAN: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) perlu mengurangkan karenah birokrasi permohonan penyambungan bekalan elektrik bagi mengelak kerugian besar berulang di masa depan.

Ketua Bahagian BERSATU Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, kerugian dianggarkan hampir RM2 juta baru-baru ini akan meningkat jika gagal ditangani dalam tempoh terdekat  khususnya Sandakan.

Katanya, banyak perkampungan dianggap diduduki Pendatang Tanpa Izin (PTI) adalah faktor utama menyebabkan kecurian elektrik kerap berlaku di kawasan berkenaan.

“Apabila anggapan ini berlaku menyebabkan pihak SESB langsung tidak berminat untuk membekalkan bekalan elektrik ke perkampungan tersebut.

“Pihak SESB sendiri tidak mempunyai kaedah dalam menyelesaikan masalah elektrik di kebanyakkan perkampungan terutamanya di Parlimen Batu Sapi sehingga berlarutan hampir 30 tahun.

“Mana mungkin kita biarkan penduduk kampung sentiasa bergelapan menyebabkan rutin harian mereka terganggu disebabkan bekalan elektrik yang tidak pernah disalurkan secara sah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini.

Firdaus berkata, ramai penduduk memohon secara sah namun tidak dilayan dengan memberi pelbagai alasan sehingga penduduk mencari jalan mudah membuat penyambungan bekalan elektrik secara haram.

“Ini merupakan hasil daripada keluhan penduduk kampung di Batu Sapi…Mereka terpaksa menanggung kos pemasangan yang tinggi sehingga menyumbang kepada kes kecurian elektrik.

“Kebanyakkan penduduk kampung di Batu Sapi tidak mampu untuk menanggung kos perbelanjaan penyambung bagi mendapat bekalan elektrik secara sah,” katanya.

Firdaus berkata, data atau bancian dilakukan kononnya kebanyakkan penduduk kampung tinggal di Batu Sapi adalah PTI adalah sama sekali tidak berasas.

“Kita memohon agar SESB mencari jalan penyelesaian terbaik berikutan isu ini merupakan kemanusiaan perlu diberikan perhatian sekali gus memastikan masalah kecurian bekalan elektrik dapat diatasi pada masa depan,” katanya.