PRN Johor bermula, penamaan calon hari ini

JOHOR BAHRU: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bermula hari ini dengan proses penamaan calon berlangsung di 56 pusat penamaan yang akan dibuka pada jam 9 pagi.

Proses penyerahan kertas penamaan calon akan ditutup sejam selepas itu.

Sebaik saja urusan proses penamaan calon selesai, pegawai pengurus pilihan raya akan mengisytiharkan mereka yang layak bertanding pada PRN berkenaan.

Menurut prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong parti adalah tidak dibenarkan di pusat penamaan calon.

Barisan Nasional (BN); Perikatan Nasional (PN); Pakatan Harapan (PH) bersama rakan strategiknya, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA); Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG); Parti Warisan (WARISAN); Parti Bangsa Malaysia (PBM); dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah mengesahkan bertanding pada PRN Johor kali ini. 

Bagaimanapun, ceramah dan kempen hanya dibenarkan di pejabat parti serta bilik gerakan parti yang rasmi, dengan kehadiran tidak melebihi 100 orang dan penganjur perlu mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tempoh setiap sesi ceramah, syarahan dan kempen hanya selama dua jam serta tidak melebihi jam 10 malam, manakala ceramah, kempen dan syarahan di premis yang terbuka atau tempat umum adalah tidak dibenarkan.

Bagi SOP kempen ziarah rumah ke rumah pula, penyertaan adalah tidak melebihi lima orang, namun tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah atau berjumpa dengan ahli rumah, manakala aktiviti mengedarkan risalah perlu dilakukan di luar pagar.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan di satu dua tempat di Johor pada pagi, petang dan malam.

SPR menetapkan hari pengundian PRN Johor pada 12 Mac dan pengundian awal pada 8 Mac depan.

Seramai 2,574,835 pengundi biasa daripada keseluruhan 2,597,742 pengundi berdaftar, layak mengundi pada PRN itu.

Daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 22,531 orang merupakan pengundi awal membabitkan 10,955 anggota tentera dan pasangan, manakala 11,576 pula anggota polis dan 376 pengundi tidak hadir luar negara.

– BERNAMA