Aspirasi parti tempatan bersatu dapat direalisasikan – Liew Yun Fah

KOTA KINABALU: Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) memberi tumpuan memperkukuhkan sokongan rakyat khususnya di kawasan Pantai Timur Sabah di negeri ini.

Presidennya, Tan Sri Liew Yun Fah berkata, ini sudah tentu memberi kefahaman rakyat tentang hala tuju parti itu selepas diterima dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Katanya, fokus utama Harapan Rakyat adalah bergerak di kawasan timur Sabah meliputi Tawau, Kalabakan, Kunak, Semporna, Lahad Datuk dan Sandakan. 

“Kita sangat berbangga dengan adanya gabungan bersama enam parti melibatkan Gagasan Rakyat, PBS, STAR, USNO, SAPP dan LDP dalam GRS menjadi aspirasi parti tempatan dapat disatukan ke arah Sabah Maju Jaya dapat direalisasikan kelak.

“Dalam hal ini, hala tuju Harapan Rakyat cukup jelas selari dengan GRS, kerana Harapan Rakyat mahu kekal fokus dengan pembangunan negeri, bersifat kendiri dan tidak ‘terikat’ dengan campur tangan politik luar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Liew  berkata juga menzahirkan ucapan terima kasih serta bangga kerana menjadi sebahagian daripada Keluarga GRS.

“Memang sejak awal lagi Harapan Rakyat mengambil pendekatan mesra dan menyokong Kerajaan atas dasar bersama ke arah memajukan Sabah.